Sebanyak 70 kotak makanan telah berjaya disalurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kepada penerima yang berkelayakan bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.
Sesi penyerahan ini telah disempurnakan oleh Dato’ Mohd Zulkifli bin Hashim, Timbalan Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi JWP kepada wakil Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) iaitu Encik Roslan bin Mahmood selaku Ketua Pusat Khidmat BTR dan Encik Kuek Zhe Han, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen BTR.
Program pengagihan bantuan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membela nasib dan menyantuni golongan yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kesemua penerima ini merupakan mereka yang telah berdaftar dan disemaksilang berdasarkan sistem eKasih yang dikemas kini oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi tahun 2026.
Selain bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh kumpulan sasar, pelaksanaan program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pihak JWP dan Pejabat Ahli Parlimen dalam memastikan kelancaran sistem penyampaian bantuan ke akar umbi. Sinergi dan kolaborasi padu ini diharapkan dapat memberikan kelegaan dalam menampung keperluan asas makanan keluarga, sekali gus menyuntik semangat mereka untuk terus berusaha meningkatkan kualiti hidup.